KOTA BHARU - Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan
tarikh pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi mengelak monopoli penentuan tarikh pilihanraya yang kini ditetapkan oleh Perdana Menteri.
Husam yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pendekatan itu boleh dilakukan dengan Kerajaan Negeri Pakatan menetapkan terlebih dahulu tarikh pilihan raya DUN sebelum Perdana menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan parlimen.
"Ini bermakna, tarikh pilihanraya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.”
“Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan." katanya dipetik dalam blognya semalam.
Husam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib bahawa kerajaan tidak akan mengadakan pilihanraya berdasarkan pendapat rakyat yang menyokong beliau tetapi menyatakan tarikh pilihanraya akan mengejutkan semua pihak.
Dalam pilihanraya umum lalu, PR menguasai lima negeri melibatkan Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang manakala Perak jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) apabila tiga wakil rakyatnya keluar parti.
Mengulas lanjut, Husam berkata, pilihanraya Pilihanraya DUN dan Parlimen tidak berjalan serentak, kecuali mereka menjadualkan sama dengan jadual di negeri Pakatan Rakyat.
"Ada dua kemungkinan. Pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menentukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata. Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita.”
“Namun, kita telah mulakan satu precedent baru iaitu tarikh pilihanraya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerintah semata-mata", katanya.



Dewan Undangan Negeri Kawasan Salor, merupakan salah satu DUN di dalam Parlimen Kubang Kerian dan diwakili YB Dato sejak 2008