18:19 "Dan demikianlah Kami bangunkan semula mereka, supaya mereka saling bertanya di antara satu sama lain. Berkatalah salah seorang di antara mereka:"Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)".Mereka menjawab: ""Kita berada (di sini) hanya sehari atau setengah hari"".Berkata (yang lain lagi): ""Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Lalu bangunkan salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota ,dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat, manakah makanan yang paling baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut, dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seseorang pun."
Al Kahfi: ayat 19
Alhamdulillah, atas semua nikmat dan kurniaNya. Termasuk bulan Ramadhan yang agung, yang kita kini, diberikan kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengannya.
Bulan pembebasan. Melalui peningkatan 'ubudiyyah yang diatur oleh Allah menerusi Ramadhan, Allah menjanjikan pembebasan hambaNya dari api neraka, dengan terlebih dahulu membebaskan diri dari perhambaan kepada kehendak dan kuasa yang lain, termasuk hawa nafsu kita sendiri.
Hadhirin yang dihormati,
Dari kisah penghuni gua yang masyhur, yang diulangi bacaannya oleh sebahagian besar orang Islam setiap minggu dengan membaca surah yang mulia - surah Kahfi - kita boleh mengambil berbagai kesimpulan. Antaranya;
a. Kekukuhan nilai - Matawang perak adalah antara mata wang yang mampu mengharungi zaman dan nilainya kekal teguh di tengah ombak inflasi. Bukan sahaja ia tidak reput selepas pemuda ini dibangunkan ratusan tahun kemudiannya, bahkan nilainya tidak luntur selepas ribuan tahun berlalu.
Hari ini, pada awal abad ke 21 di mana kita sedang berdiri, sekeping wang perak yang begitu ringan, bernilai RM 13 hingga 15 ringgit - yang bermakna kita masih mampu dengannya membeli burger - roti - sardin - prepaid akaun - ayam atau apa sahaja yang kita ingini senilai dengannya.